Thursday, June 23, 2011

Kisah Dr. Laurence Brown

Bismillah,


Assalamualaikum. Wahhh, lame tak tengok blog ni. Naseb tak bersawan lagi. Hehe. Banyak sangat halangan, sampai nak update blog pun tak dan. Heeee, now dah bole. Saya sebenarnya nak cerita satu kisah tentang someone. Dah lame nak cerita kat korang, sbb saya sangat tertarik dengan cerita dia. Harap korang ambil cerita ni, sebagai pengajaran ntok korang jalani kehidupan korang ye :)

"Berkhalwat" bawa Brown kepada Islam

Seluruh keluarga melonjak kegembiraan, lebih-lebih lagi si bapa, Dr. laurence Brown apabila puteri keduanya, Hannah selamat dilahirkan. Cuma yang janggalnya, kegembiraan itu tidak diiringi dengan sebarang ucapan syukur atau terima kasih kepada Tuhan atas kelahiran bayinya itu.
Ini kerana Dr. Brown tidak beragama. Tidak ada sedikit pun kepercayaan kepada Tuhan, apatah lagi mengakui kewujudan Tuhan. Beliau seorang ateis.
Namun kegembiraan dengan kelahiran bayinya itu tidak lama. Ini kerana Hannah mengalami masalah kesihatan yang amat serius. Pembuluh darah ke jantung bayi itu sempit sehingga menyebabkan peredaran dan aliran darah tidak lancar.
Dr. Brown dapat menyaksikan sendiri tubuh mungil anaknya itu bertukar kepada kebiruan terutama dari bahagian dada sehingga ke hujung kaki akibat aliran darah yang tidak lancar.
Si anak ditempatkan di bilik rawatan intensif untuk bayi (NICU) sebuah hospital untuk menanti saat dan ketika menjalani pembedahan dan pelbagai rawatan bagi menyelamatkan nyawanya.
Malah beliau sendiri sebagai seorang doktor sangat memahami bentuk-bentuk rawatan yang akan dilakukan oleh pakar atau doktor bedah bayi dan kanak-kanak terhadap anaknya itu.
Pastinya tiada jalan lain untuk menyelamatkan Hannah kecuali menjalani pembedahan besar di bahagian dada. Namun peluang atau kejayaan pembedahan itu sangat tipis. Tiada peluang besar untuk si bayi itu dapat bertahan hidup dengan lebih lama sekali pun jika pembedahan itu berjaya.
Segala prosedur dan implikasi itu telah dijelaskan kepada Dr. Brown oleh pakar bedah. Namun sebagaimana lazimnya, si pakar menasihati Dr. Brown banyak berdoa kepada Tuhan, meminta dari-Nya agar Hannah dapat diselamatkan. Lebih penting, berdoa kepada Tuhan itu akan membuatkan Dr. Brown lebih tenang ketika menanti saat-saat getir seperti itu.Tentu sahaja si bapa bagai terpukul dengan kata-kata doktor tersebut. Berdoa? Jangankan berdoa, tiada satu tuhan pun yang beliau akui. Bagaimana hendak berdoa.
"Saat perunding pakar bedah kardiotoraks yang akan menjalankan pemeriksaan teliti terhadap puteri saya pergi meninggalkan saya dengan segala macam nasihat itu, perasaan saya sendiri bercampur aduk antara sedih dan takut. Tidak ada teman ketika itu kecuali rasa takut yang amat sangat. Tiada tempat untuk saya tuju untuk berkongsi kesedihan sementara menunggu hasil pemeriksaan itu. Namun akhirnya saya menuju ke bilik yang dikhaskan untuk berdoa di hospital dan terus saya duduk bersimpuh, " ujar Dr. Brown menceritakan kekalutan hatinya saat itu.
Beliau mengakui, itulah kali pertama dalam hidupnya dia berdoa dengan tulus dan sungguh-sungguh.
"Sebagai seorang ateis, saat itulah pertama kalinya saya berbicara dengan Tuhan, itupun dengan setengah hati. Saya membuka hanya separuh daripada hati saya untuk mengakui Tuhan kerana ego yang masih ada. Saya tidak sepenuhnya meyakini dan mempercayai wujudnya Tuhan. Dalam situasi panik seperti itupun, saya tidak sepenuhnya meyakini Tuhan. Malah, saya berdoa dengan sikap skeptikal terhadap Tuhan. Iaitu jika Tuhan itu memang ada, benar-benar wujud saya pinta agar Tuhan akan menyelamatkan puteri saya. Sebagai balasannya, jika anak saya selamat, saya berjanji saya akan mencari dan mengikuti agama yang paling menyenangkanNya," kata Dr. Brown.

Hanya itu yang beliau tuturkan kepada Tuhan kerana sekitar 10 sehingga 15 minit kemudian, beliau dipanggil untuk menemui perunding bedah anaknya itu. Saat itu, dada beliau bagaikan hendak pecah kerana menahan debaran untuk mendengarkan penjelasan konsultan akan nasib anaknya.
Tetapi alangkah terkejutnya Dr. Brown apabila diberitahu bahawa Hannah bagai bayi ajaib. Setelah pemeriksaan teliti dilakukan, bayi itu didapati tidak lagi mempunyai sebarang masalah dengan pembuluh darahnya. Malah Hannah akan menjalani kehidupan normal seperti anak-anak yang lain. Kata-kata doktor itu ternyata benar apabila selepas dua hari dilakukan pemerhatian yang teliti keadaan puterinya 
menunjukkan kemajuan yang sangat memberangsangkan! Tidak ada lagi istilah "bayi biru" malah tidak perlu mengambil sebarang ubat apatah lagi menjalani pembedahan besar. Hannah dibenarkan pulang ke rumah seolah-olah seperti tidak ada penyakit yang dideritai selama ini.

Terima kasih Tuhan sembuhkan Hannah

Untuk kali keduanya Dr. Brown berasa sangat gembira dan kali ini bersama kegembiraan itu adalah sedikit rasa berterima kasih dan bersyukur terhadap Tuhan. Ini kerana Tuhan bukan sahaja memenuhi permintaannya tetapi Hannah bagai dilahirkan semula. Kali ini dengan begitu sihat dan tanpa ada sebarang masalah!
Sekarang tiba giliran beliau memenuhi janji-janji sebagaimana yang beliau ucapkan di hadapan Tuhan sebelum ini.
Sebagai seorang ateis, Dr. Brown lebih menyerahkan nasib anaknya itu kepada kepakaran para doktor. Malah, beliau lebih percayakan para doktor tersebut yang akan menyelamatkan anaknya itu, bukan Tuhan. Malah selama ini pun beliau percaya para pesakitnya sembuh "berkat" tangannya yang merawat dan ubat-ubat yang beliau bekalkan. Penyembuhan penyakit itu tidak sedikit pun ada kaitan dengan kuasa Tuhan kerana segala-galanya adalah ditangan doktor. Doktor lebih tahu bagaimana untuk menyembuhkan kesakitan dan masalah pesakit.
Namun kini usaha "mencari" Tuhan untuk beliau yakini dan percaya itu sendiri sebenarnya bukan mudah! Bertahun-tahun lamanya Dr. Brown mencari dan terus mencari Tuhan yang telah menyembuhkan anaknya itu. Beliau hampir berputus asa kerana gagal mencari agama manakah yang tuhannya paling layak dipercayai dan disembah. Sedari beliau cuba mengenali agama Yahudi dan pelbagai aliran dalam agama Kristian tetapi tidak pernah beliau merasakan telah menemukan kepada kebenaran.
"Selama beberapa waktu, saya mengunjungi pelbagai gereja aliran Kristian. Paling lama, yang pernah saya ikut iaitu jemaah gereja Katholik Rom, tetapi itupun saya tidak pernah secara rasmi memeluk agama itu," katanya.
Oleh kerana masih tidak menemui agama yang sesuai dengan hatinya, Dr. Brown akhirnya berdiam diri di rumah dan menghabiskan masa dengan banyak membaca. Di masa-masa inilah, beliau akhirnya mengenal al-Quran dan buku biografi Nabi Muhammad SAW berjudul Muhammad, His life Based on Earliest Sources. Ia ditulis oleh Dr. Martin Lings. Lalu al-Quran pun dicari dan terus dibaca tanpa dapat ditahan-tahan lagi kerana hasil bacaan buku Dr. Lings benar-benar memberi satu inspirasi kepada apa yang beliau cari selama ini.
Setelah membaca buku biografi Nabi Muhammad SAW itu, Dr. Brown mula meyakini bahawa Rasulullah adalah nabi yang terakhir. Kitab suci umat Islam itu mengajarkan Tuhan itu hanya Satu, dan nabi-nabi seperti Nabi Musa dan Nabi Isa juga banyak mengajar tentang keesaan Tuhan.
"Ia sebuah konsep yang sangat berbeza yang pernah saya ketahui dalam ajaran agama Yahudi dan Kristian yang pernah dipelajari bertahun-tahun sebelum ini. Tiba-tiba saja semuanya seperti masuk akal, seiring dengan keyakinan yang mulai tumbuh dalam hati saya. Salasilah atau rantaian kenabian, turunnya wahyu, hanya satu Tuhan yang Maha Besar, dan lengkapnya wahyu-wahyu Allah dalam al-Quran, menimbulkan rasa yang sempurna. Inilah yang membuat saya menjadi Muslim," dedah Dr. Brown.
Kini, Dr. Brown sudah menjadi Muslim sejak 10 tahun lalu. Selama itu, beliau belajar mengenai satu perkara, bahawa : "di luar sana ramai orang lebih bijak dan pandai, mengetahui segala macam ilmu dan pakar dalam pelbagai bidang akan tetapi tapi mereka ini, tidak seorang pun yang mampu mengetahui kebenaran Islam".
Ini kerana yang utama bukan sahaja betapa tingginya darjah kepintaran seseorang itu, tetapi sebuah pencerahan!
"Seperti yang ditegaskan oleh Allah bahawa mereka yang percaya agama Allah, tetap akan tidak percaya, meski pun telah diberikan peringatan akan dosa jika menolak keberadaan dan kewujudan Allah. Jika demikian, Allah juga akan mengabaikan mereka dan menjauhkan mereka daripada kebenaran-Nya. Saya bersyukur pada Allah yang memberi petunjuk dan memperkuat  petunjuk itu dengan satu formula yang sederhana; mengakui adanya Tuhan, menyembah Allah semata-mata, dengan bersungguh-sungguh berjanji mencari dan mengikuti kebenaran ajaran-Nya, lalu menerima hidayah-Nya," tambah Dr. Brown :)
---------------------------------------------------------------------------------------------


Wahhh, Panjang bebeno. penat nak menaip. heee.
Mohon maaf dan tegur jika tersalah info, tersalah eja, tersalah fakta. Bacalah jika ada masa lapang heeee.

Posted at 12:46 AM 23/06/2011

1 comment:

  1. boleh tak bagi pengajaran dari cerita ini.
    thank u for relpy :)

    ReplyDelete